Showing posts with label ukhuwah. Show all posts

Bezanya engkau dan mereka.


Akhawat Filllah,

Sekadar renungan untuk aktivis dakwah

Di kala batalion dakwah sedang bertungkus lumus melaksanakan shahadatul haq dan program dakwah,
Jangan pula kita hanya menjadi penonton kepada realiti ummah.
Masihkah kita tidak sedar bezanya pelaksana dakwah dan pemikir dakwah?

Pelaksana dakwah hanyalah mereka yang hanya memerhati dan memerhati.
Hanya menanti kerja menjemput mereka. 
Hanya menunggu kerja turun dari langit dan jatuh ke riba.
Oh, mudahnya hidup jika begitu. 

Tatkala tentera syuhada lain sedang berhempas pulas melaksanakan tugas, mereka hanya bersorak, bertepuk tangan di barisan belakang. Kononnya memberi sokongan. 
Sesekali “meng” like dan menyaringkan suara “ Eh, kalau ada apa-apa kerja, bagitaulah.”

Ahhh.. jika dahulu kita berkelakuan begitu, mungkin masih boleh diterima.
Tetapi di saat ini, tatkala pelbagai daurah, taujihat dan amaran telah dihenyakkan,
masihkah tiada perasaan malu jika penggerak Ad Din berperwatakan sebegitu?
Tidak proaktif! 
Muntij zero!
Sungguh! kami tidak perlukan sorakan kosong!
Yang kami perlukan adalah kudratmu! Tenagamu! Ideamu yang tidak kering dan bermusim! 



Jadi, bagaimana pula dengan pemikir dakwah?

“Sesunguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda ulul albab. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun baring dan mereka banyak berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi kemudian berkata ‘Wahai Tuhan kami, kamu tidak menciptakan ini engan sia-sia, maha suci engakau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka. (Surah ali-’Imran:190-191)

Merekalah kader yang sentiasa berfikir. 
Dalam fikir mereka, ada zikir.
Dalam duduk, dalam baring, dalam berjalan, dalam berlari mereka,
Ada fikir. Ada zikir. 

Ya, mereka bukan daie bermusim.
Mereka bukan penagih kerja semata-mata, 
Merekalah Ulul Albab!
Merekalah yang mencipta kerja!
Mereka memerhati dan mencetus idea dan gerakan!
Tanpa perlu disebat punggungnya dengan cemeti,
Mereka lah kuda dakwah berlari laju di medan. 
Tidak gentar! Tidak bacul! Tidak pengecut!

Kerana Ilah mereka adalah Allah.
Bukan study! bukan assignment menggunung! bukan kenduri kendara! Bukan kerjaya !bukan cuti sakan dengan family semata! bukan sibuknya nak jumpa nenek sedara, ipar duai, tunang bagai!
Kerana semua itu hanyalah alat! Bukan matlamat!

Aduhai..di mana janji-janji kita? 
Di mana sumpah rabitah kita?
Jikalau belum bekerjaya pun sudah lari daripada medan,
Bagaimana nanti apabila sudah sibuk dengan on call bagai, suami isteri, anak pinak?
Di mana letaknya nanti dakwah dan tarbiyyah di hati mu?

Golongan mana yang engkau mahu pilih?
Adakah mahu menjadi sahabat kepada As Sabiqunal awwalun,
Yang yakinnya pada As Syahadah menggunung tinggi.
Atau sekadar serpihan umat pasca Fathu Makkah?
Yang hanya mengucap syahadah setelah kecutnya jiwa melihat berbondong-bondong manusia tunduk kepada Islam?

Adakah engkau mahu berdiri di belakang saff Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali?
Yang tegar mempertahankan Islam tanpa bermusim,
Atau hanya sekadar mahu menjadi seperti Abu sufyan yang bagaikan menjilat ludah sendiri,
Yang hanya menumpang megah setelah Islam menjadi gah!
Walhal ketika Islam perlukan kau, kau lari mencicit meninggalkan medan perang!
Ahh, sungguh memalukan!

Jalan ini sememangnya sumpah panjang.
Dan gerabak kereta api yang melaluinya juga tidak pernah berhenti bergerak.
Ia bergerak maju bersama deruan dakwah.
Ia tidak sedikit pun menunggu kita.
Atau berasa terkilan jika kita keluar melompat daripada perutnya.
Kerana sudah tertulis bahawa, setiap zaman dan ketika, pasti ada jiwa yang akan mewarisi legasi dakwah ini.

Kalaupun ada jiwa yang gugur lantaran futur,
Sedikit pun tidak merugikan dakwah.
Kerana sudah menjadi sunnatullah,
Bahawa dakwah tidak pernah akan rugi.
Ya! Tidak pernah!
Yang rugi adalah kita yang meninggalkannya!
Ya! Aku, engkau, dia dan mereka yang meninggalkannya!

Takbir!

3 oct
RI Firdausi.

Kerana itu, biarkan aku pergi.


United Kingdom.
Musim luruh ,2009.
“Kak.. ” Saya menyeka air mata. Kerongkong dirasakan terlalu perit.
“Kalau boleh, kita tak nak akak pergi. Kita tak bersedia. Kita tak kuat lagi kak,” sedu sedan semakin kuat. Pelukan semakin kejap. Seakan tidak mahu melepaskan dia pergi.
Petang itu, di luarnya sungguh nyaman. Angin musim luruh sesekali bergeser dengan tingkap kaca di bumbung kamar saya. Sayang, angin nyaman itu langsung tidak mampu menenangkan jiwa saya. Sungguh, ketika itu, dada dirasakan berombak kencang. Menghancurkan jiwa saya tanpa belas.
Perlahan lahan, dia meleraikan dakapan kami. Wajah lembut itu tersenyum tenang. Tangannya mengusap-usap tubuh saya, aman. Seperti biasa, dia akan membuai saya dengan barisan kata hikmah yang terlalu membelai jiwa. Jiwa saya basah dengan azimat ungkapannya.

Bukan sedikit air mata yang jatuh ketika perginya seorang murobbi.
“Janganlah macam ni. Allah ciptakan pertemuan, maka sudah pasti ada perpisahan. Tapi perpisahan kita, bukan perpisahan biasa-biasa. Perpisahan ini adalah perpisahan luar biasa.  Perpisahan yang bakal menyaksikan kebangkitan seorang daie kecil menjadi singa agama Allah.  Perpisahan ini yang akan mengajar erti kemandirian dan survival. Awak kena ingat, kita tak selamanya akan bersama dengan orang yang kita harapkan. Satu hari nanti, kita akan ditinggalkan. Ditinggalkan bukan kerana benci. Bukan kerana jemu. Bukan kerana bosan. Tapi ditinggalkan kerana sayang. Kerana percaya. Kerana yakin. Bahawa anak didiknya ini akan membesar dan mendewasa dengan hebat. Murobbinya akan aman meninggalkannya. Kerana dia tahu, Allah pasti akan menjaganya,”.
Allah…empangan air mata saya pecah lagi. Kali ini, bukan sedikit. Saya terlalu sebak. Tempoh masa untuk dia kembali pulang ke tanah air tinggal beberapa hari lagi berbaki.
Itulah dia. Murobbiah pertama saya. Dengan izin Allah, dia yang membawa saya mengenali cinta pada tarbiyyah.
Dia tidak pernah gagal menanamkan benih keyakinan dalam diri saya. Walau sebanyak mana kegagalan yang saya tempuhi, dia tidak pernah meninggalkan saya.
Ya dialah murobbiah saya.
Yang terlalu banyak bersabar dengan saya.
Namanya tidak pernah lenyap daripada bibir saya, walau di mana pun saya tercampak.
Ya, ke mana pun bumi Allah ini, saya jejaki, saya pasti membawa semangatnya bersama.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Ahh..Saya terlalu kerap bermain dengan kenangan. Saya sedar, setiap kali saya menulis, saya seolah-olah terperangkap dengan babak-babak hidup yang  lalu.
Ya, saya tidak mampu untuk melupakan saat cinta pertama saya dalam lapangan tarbiyyah ini. Terkadang saya merasakan, saya masih hidup dalam masa lampau. Saya terlalu rindukan suasana itu. Tetapi, sampai bila harus saya menangisi kerinduan itu? Sedangkan terlalu banyak lagi tanggugjawab yang masih belum terlaksana.
Syukur alhamdulillah, hari ini saya punyai keluarga tarbiyyah yang amat saya cintai. Bermula dengan usaha yang kecil dan jerih payah yang tidak sedikit pada sekitar awal 2010 , saya mula menuai bibit-bibit kebahagiaanya. Namun, mahligai cinta tarbiyyah ini bukan usaha seorang dua, ia adalah usaha kolektif yang pada mata kasarnya kerdil, tetapi besar pada jiwa dan rohnya.


Adakah sekering ini hatiku?
Ketika ini, sejujurnya saya tidak punya apa. Karung bekalan saya sejujurnya semakin menipis. Saya tidak lagi diisi dengan taujih-taujih hebat lagi menggegarkan jiwa sepertimana yang pernah saya dapat di bumi Inggeris dahulu. Bagaimanakah mampu saya menakhodai bahtera dakwah dan tarbiyyah dengan persiapan yang dhaif sebegini?
Semakin hari, saya menjadi semakin kerdil dan rendah diri pada sahabat akhawat saya yang masih basah dengan taujih makanan jiwa Daie di bumi seberang sana. Sedangkan saya, dengan jiwa yang kering ini perlu memasakkan binaan tarbiyyah dan mencetak kader dakwah.
Ketika inilah, saya mencipta dunia sendiri. Saya melakar imaginasi seolah-olah saya masih hidup dalam kerancakan dakwah dan tarbiyah yang lalu. Saya mencoret potret muwajjih dan murobbi yang pernah mendidik diri ini dalam kotak minda. Saya mencipta alunan gegak gempita suara murobbi yang melaungkan seruan jihad di gegendang telinga ini. Saya membayangkan keseriusan wajah akhawat penggerak bersyura,  baik secara on line mahu pun perjumpaan bertemu lutut.  Saat kental saya dan akhawat membelah awan ke bumi Ireland semata-mata untuk syuro Kem Perhimpunan Musim Sejuk yang berdurasi lebih pendek daripada tempoh perjalanan dari UK benar-benar membakar jiwa.
Sanggup berkorban apa sahaja.
Ya, sesungguhnya saya hidup dalam kenangan silam. Sedih bukan? Bekalan saya “membesarkan” anak-anak tarbiyyah saya kebanyakkannya bersandar pada kepekatan tarbiyyah silam. Dengan pengetahuan dakwah yang sedikit dan kesegaran tarbiyyah yang dicedok daripada memori lepas, itulah sahaja yang mampu saya berikan.
Maafkan ku wahai anak-anak tarbiyyahku!
Sungguh! Diriku tak punya apa.
Kering kontang, tak bermaya.
Sedangkan kalian perlukan sentuhan murobbi yang lebih segar!
Yang lebih basah.
Mungkin juga, kalian perlukan pengganti.
Ya pengganti yang lebih layak!
…………………………………………………………………………………………………………………………………
Mereka bukan bangsa “pemaksa”.
Jujurnya dahulu, pada awal penglibatan saya dalam gerakan dakwah, saya bukanlah daripada golongan “thiqoh” dan patuh. Terkadang, ada juga degil dan derhakanya saya. Astaghfirullahalzim, bagaikan membuka aib sendiri rasanya. Tetapi inilah babak-babak kehidupan yang perlu saya kongsikan. Agar ia menjadi pelajaran kepada kader di luar sana.
Tetapi ketahuilah akhawatku, ada ubi ada batas, ada hari, pasti akan dibalas.
Pernahkah kalian terdengar kata-kata, “jika dahulu kita degil dan tidak thiqoh pada murobbi, percayalah satu hari nanti, kita akan diperlakukan perkara yang sama oleh mutarobbi kita”.
Namun, sifir ini tidak semestinya berlaku. Ada juga murobbi yang pada rekod tarbiyyahnya bersih, diuji dengan anak mutarobbi yang “adventurous”.
Namun, itulah roda kehidupan.
Menguji dan diuji.
Ketahuilah jika kalian merasakan sukarnya diri sendiri untuk ditarbiyyah, sebenarnya sejuta kali lebih susah untuk mentarbiyyah manusia.
Terkadang, murobbi “terpaksa” untuk “memaksa” kalian untuk konsisten usrah.
Mereka “terpaksa” untuk “memaksa” kalian hadiri daurah.
Mereka “terpaksa” untuk “memaksa” kalian penuhi syuro, liqo, iftar, qiyam dan jaulah.

adik: Akak, jangan paksa boleh tak?
akak: Boleh, bila kamu boleh buktikan kamu mampu melawan “paksaan” syaitan.
Kalian kira, adakah murobbi adalah spesies yang suka memaksa?
Kalian kira, adakah jiwa murobbi tenang untuk memaksa jiwa manusia?
Kalian kira, adakah murobbi tiada kerja dan tanggungjawab lain untuk ditunaikan selain menebalkan muka menghabiskan kredit, pesan di FB, jumpa face to face di bilik semata-mata memujuk kalian hadiri program pembangunan jiwa?
Siapa sebenarnya kedudukan kalian di sisi murobbi?
Adik kandung? Anak saudara seibu seayah? Sepupu sedarah sedaging?
Adakah semasa ibu ayah kalian mendaftarkan kalian di IPT masing-masing, mereka membayar upah kepada murobbi kalian untuk mentarbiyah kalian?
Tidak! Sekali kali tidak!
Jadi, mengapa para murobbi itu terus tegar “mengejar” kalian walaupun sudah banyak air mata yang tumpah, keringat yang mengalir dan hati yang terhiris?
Pertanyaan retoris ini sebenarnya perlu ditujukan kepada saya yang menulis. Kerana tangan yang menulis ini lebih berat pertanggungjawabannya berbanding mata kalian yang membaca.
Ya, saya memang banyak bersalah kepada barisan generasi murobbiah saya yang terdahulu. Entah berapa banyak arahan yang telah diingkari. Jadi, jika saya diuji dengan mutarobbi yang “adventurous”, saya sesungguhnya tidak layak untuk mengeluh dan merungut.
Maafkanku wahai barisan murobbi. Baru aku tahu bukan mudah mentarbiyyah jiwa manusia. Jika pipiku pernah basah kerana menangisi kegagalanku membimbing mereka. Engkau apatah lagi, mungkin sahaja setiap malam, berendam dalam air mata. Menyesali tindak tandukku yang besar kepala.
Allah..Allah..Allah..
………………………………………………………………………………………………………………………………..

Jangan berada di atas terlalu lama. Nanti orang benci.


Saya masih ingat, suatu hari saya sedang meneliti dada akhbar. Biasalah, kalau tiada kisah politik, memang tidak sah. Saya terpandang kata-kata mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir yang ditujukan kepada saingan politiknya, Tuan Guru Nik Aziz. Ia berbunyi ; ” Kita tak boleh berada di atas terlalu lama. Nanti, orang naik muak, naik jelak”.

Tiba-tiba ada khatiroh (lintasan hati) mengetuk.
Dalam politik, mungkin apa yang dikatakan oleh beliau itu ada benarnya. Namun, ia bertepatan dengan tarbiyyah.
Mengapa?
Kerana sudah menjadi lumrah, suatu hari nanti, Sang Murobbi akan pergi meninggalkan mutarobbinya.
Namun, cantiknya sunnahtullah itu apabila pemergian murobbi bukan semata-mata bersandarkan sebab-sebab fizikal seperti terpaksa berhijrah, habis belajar dan sebagainya.
Apatah lagi, kalau sang murobbi meninggalkan mutarobbinya kerana takut mereka merasa muak atau jelak.
Ditinggalkan bukan kerana benci.
Bukan kerana jemu.
Bukan kerana bosan.
Tapi ditinggalkan  kerana yakin.
Yakin bahawa anak didiknya ini akan membesar dan mendewasa dengan hebat.
Murobbinya akan aman meninggalkannya. Kerana dia tahu, Allah pasti akan menjaganya,”.
…………………………………………………………………………………………………….
Kerana sudah tiba masanya.
Dahulu, saya melihat perpisahan hanyalah kata lawan/ antonim kepada sebuah pertemuan.
Namun, pengalaman hidup banyak mengubah sudut pandangan hati. Setelah melalui pelbagai siri perpisahan dalam dunia dakwah dan tarbiyyah, saya menemukan satu lagi ibrah. Jika dulu, perpisahan itu adalah sifir mudah kepada pertemuan. Jika ada perpisahan, mestilah ada pertemuan kan? . Tetapi,  tarbiyyah banyak mengajar saya berfikir dari konteks berbeza. Ibrah perpisahan kali ini membawa saya kepada kepada dimensi dakwah yang baru.
Saya meneliti putaran masa yang telah berlalu. Saban tahun, saya bertukar naqibah dan murobbi. Malah, saya juga telah bertukar daerah tarbiyyah. Begitu banyak perubahan yang berlaku. Saya masih ingat, murobbi saya pernah berkata,
“perubahan itu adalah norma dalam tarbiyyah. Berubah amal, berubah semangat, malah berubah murobbiah juga salah satu proses pembaikan”.
Berubah murobbiah juga adalah proses pembaikan? Mana mungkin! Saya sudah pun mempunya murobbi yang terbaik, yang paling penyabar, yang paling lembut, yang paling mengambil berat. Apa lagi yang saya mahu? Mengapa pula saya mahu mengubah hakikat itu?
Jiwa saya membentak.
Tidak! Kita tidak selamanya hidup dalam keselesaan dan keterbiasaan. Kerana “keselesaan dan keterbiasaan” itu adalah musuh bagi tarbiyyah. Kita perlu mengalami perubahan walaupun perubahan itu tidak kita sukai.
Ohh  ya,..apatah lagi jika seandainya, murobbi kita yang sekarang sudah cukup menimbulkan rasa jelak dan muak, tentu sekali ramai mutarobbi yang tidak sabar menukar murobbinya, bukan?
(Saya tidak pasti jika kalian pernah menemukan pengalaman di mana mutarobbi sudah naik muak dan bosan dengan murobbinya sehinggakan keluar perkataan benci (nauzubillah). Tapi siapa sangka, perkara ini pernah berlaku lantaran tidak FAHAMnya mereka terhadap urgensinya kebutuhan dakwah dan tarbiyyah. Namun, sang murobbi masih mampu tersenyum dan bersabar. Moga saya juga akan tergolong dalam kelompok murobbi yang sabar. Amin).
Maka, di sinilah hikmahnya Allah mencipta perpisahan dalam jalan dakwah dan tarbiyah. Bukan berpisah semata-mata kerana naqibah sudah habis belajar dan bergraduasi. Bukan juga kerana naqibah akan terbang untuk menyambung pelajaran di tempat lain. Bukan juga semata-mata naqibah akan berhijrah, berkahwin dan mengikut suami.
Itu semua hanyalah asbab kepada sebuah hakikat. Iaitu hakikat kepada perlunya mutarobbi ini ditinggalkan. Supaya mereka belajar menerima perubahan. Jika perubahan itu adalah perubahan yang mereka sukai, syukurlah! Namun, jika mereka terpaksa melepaskan murobbi yang mereka kasihi, maka di sinilah mujahadah mereka.
Belajar untuk melepaskan orang yang dikasihi atas nama tarbiyyah.
………………………………………………………………………………………………………………………


Murobbi itu bekas acuan. Mutarobbi adalah hasil acuan.
Melihatkan taburan anak-anak tarbiyyah saya yang pelbagai ragam, himmah dan semangat, saya merenung kepada diri sendiri. Hasil acuan biasanya akan terbentuk mengikut bekas acuannya.
Di sini, mereka adalah hasil acuan dan saya adalah bekas acuan.
Jika baiknya mereka, kerana baiknya Allah memberikan saya peluang mentarbiyyah mereka yang berlogam hebat.
Tapi jika durja nya mereka dengan sisa jahiliyyah, mungkin sahaja kerana gagalnya saya membentuk mereka.
Merenung masa yang berbaki beberapa bulan sebelum saya menamatkan perjalanan tarbiyah di sini, saya tidak pasti adakah masih ada masa.
Atau sebenarnya ini adalah petunjuk kepada saya bahawa masa untuk mereka ditinggalkan sudah tiba.
Mereka perlu ditinggalkan untuk mejadi dewasa.
Mereka perlu ditingalkan untuk menjadi matang.
Ya! Mereka perlu ditinggalkan.
Ditinggalkan bukan kerana benci.
Bukan kerana jemu.
Bukan kerana bosan.
Tapi ditinggalkan  kerana yakin.
Bahawa akan ada pengganti yang lebih baik.
Bahawa ada Allah yang akan menjaga mereka.

musafir asing
2 Oktober 2012
Kawthar.

Si Dia perancang HEBAT

salam ukhuwah :)
errr, buat pertama kalinya ana menulis di medan penulisan Hadiqatul Jannah ini hehe
maaf atas ketidak seriousan ana dalam menulis sepanjang post ini *ketuk kepala sendiri*

Jaulah tarbiyah :)

Kekecewaan 
Bermula dengan kekecewaan yang nyata dari ana sendiri, apabila si ayah tidak membenarkan ana pulang ke rumah untuk cuti 3 hari ini.
Hati mula rasa sangat sedih, melihat dan menghantar sahabat se'batch' yang pulang..
Tambahan pula ade kata-kata dari sahabat lain,

 "bila lagi mahu berjumpa dengan family? lepas nie kte mane ade cuti lagi? "
 "tak balik ke? 3 hari kot cutiii"

Peluh kecil. Siapa yang tidak mahu berjumpa dengan ahli keluarganya,
tanyalah diri masing-masing, bertemu dengan mereka boleh menguatkan lagi tali silaturrahim itu,
maka senanglah nak berdakwah pada mereka, ye dak? eh. ^^


At Tahrim ayat 6 : "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
Terus berfikir apa yang ana hendak buat bila keseorang di ipoh ni? 
Ajakan murabbi
Pada malam itu, terlihat post murabbi di muka buku tentang karnival unifest di uitm pulau pinang.  Semasa melihat poster tu 

nampakkah caption " 12-16 sept 2012 JUALAN BUKU KEROHANIAN " ?
Allah menggerakan hati ana, si 'kaca mata' dan si 'ustazah pilihan' mengikut murabbi mencari buku tarbiyah yang boleh dijadikan bahan usrah nanti.. 
Sepanjang Jaulah
Bermula satu perjalanan, bertemankan peneman si GPS yang melancarkan lagi perjalanan itu.     Mengisi perut dengan juadah yang disediakan oleh si 'ustazah pilihan' dan murabbi di raudhatul firdausi :)
Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam lebih, err, betul ke? estimate sahaja je ni.  
Sampai di situ perasaan hampa menyerpa sedikit di hati kecil ini tatkala kekurangan jualan buku tarbiyah di sana, lebih banyak buku kerohanian sahaja, 
"yelah, masakan nak cari buku tarbiyah tapi cari di jualan buku kerohanian. maybe aku terlalu high expectation sangat kot, kata monolog dalaman *ketuk kepala 2 kali* "               
Tatkala itu, kami semua kebuntuan mahu meneruskan perjalanan ke mana.                                              Kata orang tarbiyah, tak lengkaplah sebuah perjalanan tanpa melawat Rumah Islam(RI) di kawasan tersebut.                                                                                                                                                Terus sahaja tindakan murabbi ku pantas sahaja menelefon kenalan akhawat di penang.
Ayat Yunus : 87 " Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya) "

Aturan Allah sangat HEBAT! tahu?
Alhamdulillah! SubhanaAllah!                                                                                                                    Ungkapan ini yang ingin sekali hati ini menjerit dan melaungkan untuk memberitahu kalian 
" ya! memang benar! Dia yang sangat HEBAT, Allah! kenapa cintaMu manis sangat, Kau buat diri kerdil ini makin kuat cintanya padaMu!  "
Sejurus selepas menelefon, berita gembira dikhabarkan ade 'terbuka umah' (open house) di salah seorang umah akhawat.                
Perjalanan ke bahagian pulau memperlihatkan ana yang sedikit jakun bersama si 'kaca mata' dan si 'ustazah pilihan' sangat teruja melihat keindahan jambatan pulau pinang! eh! salah! teruja melihat awan ciptaan Allah di sebalik palang2 yang membentuk jambatan pulau pinang, muehehehe. 
Sampai di umah akhawat di batu maung, subhanaAllah, tidakku sangka aturanMu menemukan kami yang sangat kerdil dan sangat baru dalam medan d&t ini dengan senior-senior, akak-akak yang banyak ilmu yang hendak dikorek, tapi masa mencemburui kami.                                                                    
Tidak mengapa, pasti SI Dia dah aturkan something untuk kita yang bertemu ! :)
MENZIARAHI RI ADNIN, PENANG
Besar sungguh RI Adnin! Dengar kata mampu memuatkan hingga 80 orang akhawats dalam sesebuah program, Allahu Akbar!
Kami pun menerjah bilik ukhti osem, beliau memperkenalkan buku tarbiyah yang beliau guna dan di situ bermulanya sesi taaruf official :)
Sharing dari ukhti osem itu sumpah sangat berguna buat kami ini..sungguh!                                           Plus dengan perasaan bercampur baur dalam mengendalikan sesebuah konferens riang..                              Kata-kata dan idea-idea yang diilhamkan oleh Allah pada ukhti osem untuk diberikan kepada kami sangat melegakan! Sekurang-kurangnya kami mengetahui langkah-langkah yang bakal diperjuangkan oleh kami dalam medan ini <3
Merehatkan diri sebelum itu, selepas terbangun dari rehat itu, ana melihat sesuatu, 
"eh, apakah itu? nampak ukthi itu begitu tekun menyiapkan sesuatu, seakan seperti study? tapi study apakah di lewat petang itu? tidak. dia seperti menyiapkan sesuatu, erm, tidak mengapalah, tidak mahu ganggu, monolog lagi. "
Sebelum meninggalkan Adnin, tetibe ukhti tu memebri sepucuk surat yang, erm, agak meragukan, tapi tidak mengapa, kata ukhti itu, 
" jangan buka sampul itu, buka dalam kereta nanti " 
Riak wajahnye seperti cemas, tidak mahu kami ketahui sesuatu.                                                                        Kami meninggalkan Adnin, dan azam dan harapan, insyaAllah kami akan ke situ lagi..                              
Perjalanan mencari diteruskan
Belum pun lepas 500 meter meninggalkan Adnin, kami membuka sampul itu,                                           Ada wang dan kata-kata ukhti osem itu sebagai booster dose kami dalam medan ini........................          Saat si 'kaca mata' itu membaca kan kata-kata ukhti osem itu, air mata seakan ingin mengalir, sebak.....                                                                                                                                                   Pada saat itu, ana berasa sungguh, sungguh! sungguh!! sangat cantik medan ini..                                      walaupun jalan yang bakal ditempuhi ini akan jadi pahit, manis, masin, masam dan tawar, tetapi kehadiran Allah yang sentiasa menemani dan menghadirkan ukhti2, akhawats yang indah mengingatkan, menegur, dan mengetuk kepala masing-masing sumpah dapat membuang semua duka luka pilu itu.
                     
Surah al Hujurat ayat 10 mendukung maksud sangat jelas dalam hal ukhuwah ini. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, maka perdamaikanlah kedua saudara kamu (yang berselisihan)”.

Pulang ke Ipoh
Setelah membeli buku tarbiyah di Carrefour kedai buku Hasani di Seberang Prai, kami mula bergerak ke ipoh kembali bersama perasaan yang luar biasa :)

Surah Al-ma'arij (70) : 5-7
" Maka bersabarlah engkau dengan kesabaran yang baik. Mereka memandang itu jauh. Sedangkan Allah memandang itu dekat " 

Alhamdulillah, kami pergi hanya bermisi kan 'buku tarbiyah' , tetapi dengan aturan Allah, kami pulang dengan 'buku-buku tarbiyah' dan juga 'ilmu', 'idea' dan 'semangat menjadi singa itu'!

Takbir! Allahuakbar!
Moga Allah redha!